Penyakit Buah Pinggang
Kredit penulis dan penyemak merujuk kepada penerbitan asal. Edisi KawanSihat belum disemak oleh penyemak klinikal sendiri. Cara kandungan disediakan.
Pernahkah anda dengar mengenai penyakit buah pinggang? Penyakit ini berlaku kepada buah pinggang atau buah pinggang – sepasang organ yang berbentuk seperti kacang dan mempunyai saiz kira-kira sebesar penumbuk. Organ ini terletak di bawah tulang rusuk dan setiap satunya berada di sebelah tulang belakang.
Buah pinggang yang sihat mampu menapis hampir separuh cawan darah setiap minit. Organ ini berfungsi untuk mengkumuhkan sebarang bahan buangan dan cecair lebihan serta membentuk urin.
Air kencing kemudiannya akan mengalir dari buah pinggang ke pundi kencing melalui tiub kecil yang dikenali sebagai ureter. Semua urin akan disimpan di dalam pundi kencing sebelum dibuang dari badan.
Organ ini bukan sahaja membuang toksin dan lebihan cecair dari badan, ia juga membuang asid yang dihasilkan oleh sel dan mengekalkan keseimbangan air, garam dan mineral di dalam darah.
Anda lebih berisiko untuk mengalami penyakit buah pinggang jika menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi.
Jika organ ini tercedera, semua bahan buangan dan cecair tidak dapat dibuang secara normal. Bahan-bahan ini akan berkumpul dan menyebabkan pesakit alami simptom seperti bengkak pada buku lali, rasa loya, letih, sukar tidur dan sesak nafas.
Tanpa rawatan yang sewajarnya, kecederaan yang berlaku pada organ ini boleh jadi semakin teruk dan akhirnya menyebabkan buah pinggang berhenti berfungsi. Keadaan ini amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa.
Untuk maklumat lanjut tentang Urologi, anda juga boleh klik di sini.
Jenis
Penyakit buah pinggang yang lazim berlaku
Ada 3 jenis penyakit buah pinggang iaitu penyakit buah pinggang kronik (chronic kidney disease– CKD), kegagalan buah pinggang (kidney failure) dan sista buah pinggang (kidney cyst).
1. Penyakit buah pinggang kronik
Penyakit buah pinggang kronik merupakan satu kondisi jangka panjang yang membuatkan organ ini tidak dapat berfungsi secara normal.
Faktor risiko utama yang menyebabkan penyakit ini ialah diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan juga sejarah keluarga.
Penyakit buah pinggang kronik mungkin menunjukkan beberapa simptom ketika ia masih lagi berada di tahap awal. Walau bagaimanapun, penyakit ini selalunya hanya dapat dikesan setelah fungsi buah pinggang jadi terbatas.
Penyakit buah pinggang kronik boleh beransur menjadi kegagalan buah pinggang tahap akhir (end-stage renal disease– ESRD). Jika ini berlaku, pesakit mungkin perlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.
2. Kegagalan buah pinggang
Kegagalan buah pinggang terjadi apabila fungsi buah pinggang berada di bawah 15% berbanding normal. Ini bermaksud, hampir 85-90% fungsi buah pinggang telah lupus dan organ ini juga tidak dapat memastikan pesakit terus hidup.
Malangnya, tiada sebarang penawar untuk penyakit ini kerana kerosakan yang berlaku tidak dapat dipulihkan. Walau bagaimanapun, ada rawatan yang boleh pesakit lakukan untuk terus hidup di samping keluarga tersayang.
Untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang telah hilang, pesakit boleh memilih salah satu daripada 3 pilihan rawatan ini:
- Hemodialisis.
- Peritoneal dialisis.
- Pemindahan buah pinggang.
3. Sista buah pinggang
Sista buah pinggang (kidney cyst) ialah ketumbuhan berbentuk bulat yang dipenuhi cecair sama ada di dalam atau di luar buah pinggang.
Sista ini boleh mengganggu fungsi buah pinggang dan menyebabkan penyakit. Walaupun begitu, selalunya sista yang terbentuk bukanlah jenis kanser dan jarang menyebabkan sebarang komplikasi.
Namun, pakar sendiri tidak pasti apakah penyebab sebenar pembentukan sista ini. Selalunya, hanya satu sista akan terbentuk pada permukaan buah pinggang.
Tetapi, ada juga pesakit yang mempunyai lebih daripada satu sista di sebelah atau kedua-dua buah pinggang mereka.
Simptom
Ada banyak simptom yang mungkin menandakan penyakit buah pinggang iaitu:
Simptom awal penyakit buah pinggang
1. Rasa penat
Toksin yang berkumpul di dalam badan boleh menyebabkan pesakit rasa penat, lemah dan sukar untuk fokus. Selain itu, pesakit juga selalunya akan mengalami anemia sebagai komplikasi kerana ia juga mempunyai simptom yang sama.
2. Sukar fokus
Pesakit juga sukar untuk fokus ketika melakukan kerja harian disebabkan pengumpulan toksin dalam darah.
3. Sukar tidur
Apabila buah pinggang tidak dapat menapis toksin dengan baik, bahan buangan tersebut akan kekal di dalam darah kerana tidak dapat dikumuhkan dengan betul. Perkara ini boleh menyebabkan pesakit mengalami gangguan tidur.
4. Tidak ada selera makan
Walaupun simptom ini merupakan satu gejala yang biasa, namun pesakit mungkin tidak akan mempunyai selera makan disebabkan toksin yang terlalu banyak berkumpul di dalam darah.
5. Otot menjadi kejang
Sebarang ketidakseimbangan elektrolit dalam badan disebabkan fungsi buah pinggang yang merosot boleh menyebabkan otot pesakit menjadi kejang.
6. Kaki dan buku lali membengkak
Fungsi buah pinggang yang merosot boleh menyebabkan retensi sodium yang menyebabkan bengkak pada kawasan buku lali dan kaki.
7. Mata sembap pada waktu pagi
Mata sembap mungkin petanda buah pinggang sedang membocorkan protein dalam jumlah yang banyak ke dalam air kencing disebabkan kerosakan pada penapisnya.
8. Kulit kering
Kulit kering menandakan buah pinggang tidak lagi mampu untuk mengekalkan keseimbangan mineral dan nutrien di dalam badan.
9. Kerap ke tandas terutamanya pada waktu malam
Apabila penapis pada organ ini telah tercedera, pesakit akan rasa ingin ke tandas lebih kerap. Walau bagaimanapun, simptom ini tidak semestinya berkait dengan masalah buah pinggang.
Ia juga boleh berlaku jika pesakit menghidap jangkitan saluran kencing (UTI) atau masalah prostat membesar.
Simptom akhir penyakit buah pinggang
- Rasa loya.
- Muntah-muntah.
- Tiada selera makan.
- Perubahan dalam jumlah urin.
- Edema.
- Anemia.
- Keinginan seksual berkurang.
- Tahap potassium tinggi (hyperkalemia).
- Inflamasi pada pericardium.
Faktor risiko penyakit buah pinggang
Ada banyak faktor yang boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap masalah buah pinggang. Sebagai contoh, penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan di antara punca utamanya.
1. Diabetes
Diabetes merupakan punca nombor 1 masalah buah pinggang. Apabila badan tidak dapat menggunakan insulin dengan baik, terlalu banyak gula akan berkumpul di dalam darah.
Ini akan membebankan organ tersebut dan mungkin menyebabkan masalah pada jangka masa panjang.
2. Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi pula merupakan faktor kedua yang menyebabkan penyakit buah pinggang. Apabila darah mengalir terlalu kuat menerusi salur darah kecil pada organ ini, lama-kelamaan salur darah ini boleh terluka.
Ada banyak lagi faktor lain yang boleh meningkatkan risiko penyakit ini. Sebagai contoh, mempunyai usia lebih 60 tahun, obes dan merokok juga boleh menyebabkan anda berisiko untuk mengalami masalah buah pinggang.
Diagnosis
Untuk diagnosis, anda mungkin perlu melakukan beberapa jenis ujian atau prosedur. Sebagai contoh:
1. Glomerular filtration rate (GFR)
Glomerular filtration rate merupakan ujian yang terbaik untuk menguji kemampuan buah pinggang dan menentukan tahap penyakit yang sedang dialami.
Jika nombor GFR rendah, itu bermaksud organ anda anda tidak berfungsi secara normal.
2. Ujian imbasan
Doktor mungkin akan menggunakan ujian imbasan seperti ultrasound atau CT scan untuk melihat sejauh mana penyakit tersebut telah merebak pada buah pinggang pesakit.
Selain itu, imbasan ini juga berguna untuk menentukan bentuk dan saiz organ tersebut.
3. Biopsi
Doktor juga mungkin mencadangkan agar pesakit melakukan biopsi untuk mengambil sedikit sampel tisu dari kawasan buah pinggang.
Biopsi dilakukan untuk mengesan punca sebenar penyakit dengan menganalisis sampel biopsi di dalam makmal.
4. Ujian urin
Melalui ujian urin, doktor dapat mengenal pasti sebarang abnormaliti yang menandakan sebarang masalah dengan buah pinggang pesakit.
5. Ujian darah
Ujian ini akan melihat tahap bahan buangan seperti creatinine dan urea di dalam darah pesakit.
Rawatan
Penyakit buah pinggang dirawat bergantung kepada puncanya. Doktor selalunya akan memberikan rawatan untuk mengawal simptom, mengurangkan komplikasi dan memperlahankan penyebaran penyakit tersebut.
Jika pesakit telah mencapai tahap akhir, mereka mungkin memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk kekal hidup.
Di Malaysia, kebanyakan hospital mempunyai kemudahan untuk pesakit melakukan dialisis.
Malah, pesakit yang mempunyai banyak faktor risiko juga boleh melakukan ujian saringan untuk melihat buah pinggang mereka.
Sama seperti penyakit lain, penyakit ini juga dapat dirawat dengan lebih baik jika ia dikesan pada peringkat awal.
Bila perlu jumpa doktor?
Penyakit ini tidak berlaku dalam masa satu hari. Malah, organ ini boleh kekal berfungsi walaupun ia tercedera dalam jangka masa yang panjang.
Sebab itu ramai pesakit yang tidak mengalami apa-apa simptom hingga buah pinggang mereka berhenti berfungsi.
Sukar untuk mengesan simptom yang disebabkan oleh penyakit buah pinggang. Walau bagaimanapun, Dr. Juan Calle dari Cleaveland Clinic mempunyai beberapa tip yang mungkin berguna untuk anda.
Paling penting, pastikan anda sentiasa peka dengan simptom seperti tekanan darah tinggi, edema atau bengkak pada kaki dan muka, loya, tiada selera makan, sukar untuk membuang air seperti biasa serta sukar fokus.
Walaupun mungkin muncul satu atau dua simptom sahaja seperti dalam senarai di atas, namun tiada ruginya jika anda membuat pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital berdekatan.
Sumber rujukan
- American Kidney Fund. n.d. Chronic kidney disease (CKD). Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/.
- —. n.d. Kidney disease risk factors. Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/risk-factors/#other_risk_factors_for_kidney_disease.
- —. 2020. What is high potassium, or hyperkalemia? July 20. Accessed January 7, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/complications/high-potassium-hyperkalemia.html.
- LifeOptions. n.d. Kidney Disease Symptoms. Accessed January 7, 2021. https://lifeoptions.org/learn-about-kidney-disease/kidney-disease-symptoms/.
- Mayo Clinic. 2019. Chronic kidney disease. April 15. Accessed January 6, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chronic-kidney-disease/symptoms-causes/syc-20354521.
- —. 2020. Kidney cysts. July 28. Accessed January 6, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/kidney-cysts/symptoms-causes/syc-20374134.
- National Kidney Foundation. 2017. Chronic Kidney Disease (CKD) Symptoms and causes. February 15. Accessed January 6, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/about-chronic-kidney-disease.
- —. 2019. Sexuality and Kidney Disease. June 25. Accessed January 7, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/sexuality.
- NHS. 2019. Chronic kidney disease. August 29. Accessed January 6, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-disease/.
- NIH. 2018. Your Kidneys & How They Work. June. Accessed January 6, 2021. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidneys-how-they-work.
Rujukan artikel asal
- American Kidney Fund. n.d. Chronic kidney disease (CKD). Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/.
- —. n.d. Kidney disease risk factors. Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/risk-factors/#other_risk_factors_for_kidney_disease.
- —. 2020. What is high potassium, or hyperkalemia? July 20. Accessed January 7, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/complications/high-potassium-hyperkalemia.html.
- LifeOptions. n.d. Kidney Disease Symptoms. Accessed January 7, 2021. https://lifeoptions.org/learn-about-kidney-disease/kidney-disease-symptoms/.
- Mayo Clinic. 2019. Chronic kidney disease. April 15. Accessed January 6, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chronic-kidney-disease/symptoms-causes/syc-20354521.
- —. 2020. Kidney cysts. July 28. Accessed January 6, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/kidney-cysts/symptoms-causes/syc-20374134.
- National Kidney Foundation. 2017. Chronic Kidney Disease (CKD) Symptoms and causes. February 15. Accessed January 6, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/about-chronic-kidney-disease.
- —. 2019. Sexuality and Kidney Disease. June 25. Accessed January 7, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/sexuality.
- NHS. 2019. Chronic kidney disease. August 29. Accessed January 6, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-disease/.
- NIH. 2018. Your Kidneys & How They Work. June. Accessed January 6, 2021. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidneys-how-they-work.