Panduan mengenali najis bayi
Pilih warna dan tekstur yang paling hampir dengan najis bayi anda.
Najis Anak Berwarna Kehijauan dan Kehitaman Serta Melekit

Mekonium
Mekonium merujuk kepada bahan yang mengandungi mukus, sel kulit serta cecair amniotik, dan ia kebiasaannya dikeluarkan selepas kelahiran.
Apa yang boleh dilakukan?
Pembuangan najis mekonium kebiasaannya berlaku selepas kelahiran. Jika anak anda tidak mengeluarkannya, atau mengalami masalah membuang mekonium secara berpanjangan, bawa si manja anda ke hospital kerana dia mungkin mengalami meconium ileus (MI). Kelewatan mendapatkan rawatan mungkin akan menyebabkan usus besar pecah.
Najis Anak Berwarna Kekuningan Mustard Serta Berbiji

Najis Anak Yang Menyusu Badan
Selepas mekonium habis dibuang oleh anak anda, dia akan mula mengeluarkan najis yang berwarna kekuningan mustard. Najis ini adalah biasa dalam kalangan anak yang menyusu badan. Ia juga mungkin akan mempunyai tekstur berbiji.
Apa yang boleh dilakukan?
Usah khuatir kerana najis jenis ini adalah normal jika ia dikeluarkan oleh anak yang menyusu badan. Ini kerana susu ibu mengandungi nutrien untuk membantu anak anda kekal sihat dan kuat. Pun begitu, jika anda perasan si manja anda mengeluarkan najis berwarna kehijauan serta berbuih, ia mungkin tanda dia terlalu banyak mengambil susu awal – susu rendah kalori yang diproses semasa awal penyusan – dan kurang mengambil susu akhir – susu tinggi lemak dan bernutrisi tinggi. Ini bermakna anda tidak menyusukannya dalam tempoh yang sepatutnya bagi setiap payudara. Untuk membetulkan keadaan ini, susukan anak sehingga habis susu pada sebelah payudara sebelum menukarkannya ke sebelah payudara yang lain.
Najis Anak Berwarna Kecoklatan Serta Pekat

Najis Anak Yang Menyusu Susu Formula
Anak yang menyusu susu formula akan mengeluarkan najis yang mempunyai tekstur seperti mentega kacang. Ia mempunyai pelbagai warna yang seakan coklat – coklat kehijauan atau coklat kekuningan. Ia juga mempunyai bau yang lebih busuk berbanding najis kanak-kanak yang menyusu badan namun kurang kuat berbanding anak yang makan makanan pejal.
Apa yang boleh dilakukan?
Anda tidak perlu risau kerana najis jenis ini adalah normal malah merupakan tanda yang sihat bagi anak yang minum susu formula.
Najis Anak Berwarna Hijau Kecoklatan

Ia mempunyai tekstur yang lebih kurang sama dengan guacamole, najis yang dikeluarkan oleh anak yang makan makanan pejal kebiasaannya berwarna coklat atau coklat gelap. Teksturnya juga lebih pekat berbanding mentega kacang namun masih lembik. Tambahan itu, baunya juga lebih kuat berbanding najis anak yang menyusu susu formula.
Apa yang boleh dilakukan?
Tidak perlu risau kerana najis jenis ini adalah normal dan sihat. Kadang kala, najis anak anda juga boleh dipengaruhi oleh apa yang dia makan. Najis yang berwarna ini selalunya dikaitkan dengan pembuangan sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimakan. Sebagai contoh, warna merah mungkin menunjukkan pembuangan buah naga atau sayur bit, oren mungkin menunjukkan pembuangan lobak, dan biru mungkin menunjukkan pembuangan beri biru.
Najis Berwarna Coklat dan Cair

Cirit-Birit
Cirit-birit kebiasaannya terjadi apabila anak anda membuang najis cair sebanyak 2 kali atau lebih dalam sehari. Anak yang menyusu badan sekurang-kurangnya akan membuang air besar sebanyak 6 kali sehari. Sehingga berusia 2 bulan, mereka mungkin akan membuang air besar setiap kali selepas makan. Namun, jika amaun najis kelihatan semakin banyak dan cair, ia mungkin petanda cirit-birit.
Apa yang boleh dilakukan?
Sekiranya ia berlanjutan sehingga lebih daripada 2 hari, dan anak anda berusia 3 bulan atau lebih muda, segera berjumpa doktor. Jika ia terlalu kerap terjadi kepada si manja anda, ia boleh menyebabkan dehidrasi. Jangan beri anak anda apa-apa ubat cirit-birit, tanda nasihat profesional atau pakar. Sebaiknya, dapatkan rawatan daripada doktor terutamanya jika anak anda mengalami cirit-birit beserta darah atau mukus.
Najis Anak Berwarna Coklat Serta Keras

Sembelit
Jika anak anda mengeluarkan najis yang keras dan kelihatan batu kecil, si manja anda mungkin mengalami sembelit. Tambahan itu, anda juga mungkin boleh perhatikan jika anak anda berasa tidak selesa ketika sedang membuang air besar, ataupun najisnya bercampur dengan darah akibat iritasi pada anus.
Apa yang boleh dilakukan?
Jika hanya terdapat 1 atau 2 ketulan najis keras pada lampin anak, anda tidak perlu terlalu risau. Namun jika si manja mengeluarkan lebih daripada 3 ketulan najis keras (atau berdarah), maka anda perlu berjumpa doktor segera. Sembelit biasa terjadi kepada anak ketika sedang diperkenalkan dengan makanan pejal. Ia mungkin menunjukkan petanda bahawa dia sensitif terhadap protein susu atau soya, ataupun kurang toleransi terhadap sesuatu di dalam susu yang diambil.
Jika ia berlaku, segera bawa si manja berjumpa doktor, yang mungkin akan mencadangkan anda memberi lebih banyak minum air kepada anak. Untuk kanak-kanak yang lebih tua, sediakan mereka dengan amaun susu yang banyak. Jika anak anda sudah boleh makan makanan pejal, berikan dia makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Namun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengubah diet si manja anda.
Najis Anak Berwarna Hijau Gelap
Najis Anak Yang Diberi Suplemen Zat Besi
Jika anda membekalkan si manja dengan zat besi, najisnya mungkin akan berwarna hijau gelap atau hitam. Ia mungkin tidak berlaku terlalu kerap, namun ia adalah sesuatu yang sangat normal.
Apa yang boleh dilakukan?
Usah khuatir dengan perubahan warna pada najis anak anda ini kerana ia tidak menunjukkan sebarang tanda kerosakan pada sistem pencernaan si manja. Pun begitu, jika najis anak mempunyai warna seakan kehitaman namun tidak langsung mengambil apa-apa suplemen zat besi, maka segera berjumpa doktor untuk memastikan ia bukan tanda melena, ataupun pendarahan saluran pencernaan.
Najis Anak Berwarna Hijau Terang

Ketidakseimbangan Susu Awal/Susu Akhir
Jika anda perasan najis yang berwarna hijau terang dan berbuih pada pampers si manja, yang kelihatan seakan alga, dia mungkin mengambil terlalu banyak susu awal – susu rendah kalori yang diproses semasa awal penyusuan, dan kurang mengambil susu akhir – susu tinggi lemak yang bernutrisi tinggi. Ini mungkin bermakna anda tidak menyusukannya dalam tempoh yang sepatutnya bagi setiap payudara.
Apa yang boleh dilakukan?
Untuk membetulkan keadaan ini, mulakan penyusuan seterusnya dengan susukan anak sehingga habis susu pada sebelah payudara terlebih dahulu sebelum menukarkannya ke sebelah payudara yang lain.
Najis Anak Berwarna Kemerahan

Najis berwarna kemerahan ini kebiasaannya menunjukkan si manja anda mengalami masalah di dalam saluran penghadaman.
Najis Berdarah
Najis jenis ini kebiasaannya keras dan mempunyai darah atau mukus. Warna merah pada najis anak ini mungkin menunjukkan bahawa anak anda mengalami kekoyakan di sekitar anus.
Apa yang boleh dilakukan?
Warna merah pada najis si manja diakitkan dengan kekoyakan pada sekitar saluran pencernaan (rektum). Segera bawa anak anda berjumpa doktor jika ia berlaku.
Selain itu, perhatikan juga tanda berikut:
- Najis normal yang mempunyai darah, ia mungkin tanda alahan susu (seperti dalam gambar).
- Najis keras dengan sedikit darah, ia mungkin tanda kekoyakan pada anus atau buasir.
- Cirit-birit yang mempunyai darah, ia mungkin yanda pendarahan pada usu kecil atau hematochezia.
- Apabila najis anak berwarna kehitaman dan berbiji seperti bijan, ia mungkin kerana anak menyusu badan dan menelan darah ekoran ibunya mengalami pendarahan pada puting. Ia mungkin menunjukkan bahawa si ibu memerlukan rawatan, tetapi tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat kepada bayi. Akan tetapi, anda masih perlu berjumpa doktor untuk memastikan ia bukan sesuatu yang lebih serius, seperti pendarahan pada usus anak.
Najis Anak Berwarna Hitam

Melena
Melena merujuk kepada pembuangan najis berwarna hitam yang mempunyai kesan darah. Ia disebabkan oleh pendarahan pada saluran pencernaan (GI) atau usus besar si manja.
Apa yang boleh dilakukan?
Jika ia bukan mekonium (yang dikeluarkan semasa beberapa hari pertama selepas anak anda lahir), maka segera dapatkan rawatan doktor.
Najis Anak Berwarna Putih Seakan Kapur

Najis anak yang pucat, tidak mempunyai warna atau putih mungkin menunjukkan tanda masalah organ hati atau pundi hempedu.
Hempedu adalah cecair penghadaman yang dihasilkan oleh organ hati dan disimpan di dalam pundi hempedu. Anak anda akan mendapat warna najis yang normal daripada hempedu semasa proses pencernaan. Pun begitu, jika organ hati si manja tidak dapat memproses hempedu atau dia mengalami penyakit biliary atresia (ketiadaan saluran hempedu), najisnya akan berwarna seakan putih.
Apa yang boleh dilakukan?
Najis yang berwarna putih ini sangat jarang berlaku. Namun jika ia berlaku kepada si manja anda, segera dapatkan rawatan doktor.
Alat saringan kesihatan ini hanya boleh digunakan sebagai maklumat tambahan dan tidak boleh menggantikan nasihat perubatan, diagnosis dan rawatan daripada doktor. Jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan atau kecemasan dan memerlukan rawatan perubatan, sila rujuk doktor atau pergi ke hospital dengan segera.