KawanSihat
Kesihatan lebih mudah difahami.

Penyakit Chagas: Jangkitan Parasit Bawaan Pepijat

Kredit penulis dan penyemak merujuk kepada penerbitan asal. Edisi KawanSihat belum disemak oleh penyemak klinikal sendiri. Cara kandungan disediakan.

Penyakit Chagas ialah sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh parasit bernama Trypanosoma cruzi (T. cruzi), paling kerap berlaku di Mexico, Amerika Selatan, dan Amerika Tengah. Penyakit ini tersebar melalui serangga atau pepijat triatomine. Ia digelar sebagai “serangga cium’ kerana kerap menggigit bahagian muka individu semasa tidur di waktu malam.

Penyakit Chagas: Jangkitan Parasit Bawaan Pepijat

Pepijat triatome atau “serangga cium’ yang membawa parasit T. cruzi

Memandangkan penyakit Chagas adalah endemik di benua Amerika (khususnya negara Amerika Latin), ia juga dikenali sebagai American trypanosomiasis (istilah trypanoomiasis diambil dari nama parasit yang menjadi punca penyakit ini). Di Afrika, parasit dari kumpulan yang sama menyebabkan African trypanosomiasis. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit Chagas menjejaskan 8 juta individu di seluruh dunia.

Simptom penyakit Chagas mungkin tidak disedari

Seseorang yang dijangkiti parasit T. cruzi boleh mengalami fasa akut dan mungkin berkembang kepada fasa kronik. Simptom adalah berbeza mengikut individu, ada yang mengalami simptom ringan dan ada juga yang lebih parah. Selain itu, ramai juga individu tidak mengalami sebarang simptom.

Fasa akut

Fasa ini berlangsung selama beberapa minggu atau bulan, kebiasaannya tanpa sebarang simptom. Jika berlaku simptom, kebiasaannya tidak parah dan tidak spesifik termasuk:

  • Bengkak di bahagian gigitan serangga.
  • Demam, ruam, badan letih dan sakit.
  • Kelopak mata bengkak.
  • Sakit kepala.
  • Hilang selera makan.
  • Loya, cirit-birit atau muntah.
  • Nod limfa bengkak.
  • Limpa dan hati bengkak.

Fasa kronik

Jika fasa akut tidak dirawat, ia berisiko membawa kepada fasa kronik yang mungkin berlaku 10 hingga 20 tahun selepas jangkitan. Terdapat risiko komplikasi yang serius jika tidak dirawat iaitu:

  • Jantung – degupan jantung tidak sekata, kegagalan jantung kongestif, serangan jantung.
  • Usus – saiz esofagus (kerongkong) dan usus besar bertambah sehingga sukar untuk menelan makanan dan membuang air besar.

Rawatan melibatkan ubat parasit dan kawalan simptom

Ubat parasit hanya efektif jika diberikan semasa fasa akut. Dalam fasa kronik, rawatan difokuskan terhadap mengawal simptom dan komplikasi.

Pencegahan boleh dilakukan melalui penggunaan ubat serangga untuk mengelakkan gigitan pepijat tersebut, terutamanya jika anda merancang untuk pergi ke negara-negara Amerika Latin, walaupun kes dalam kalangan pelancong jarang berlaku.

Selain melalui gigitan “serangga cium’, penyakit Chagas juga dilaporkan tersebar melalui makanan yang dicemari najis triatomine mengandungi T. cruzi, dari ibu hamil ke bayi dalam kandungan, dan pemindahan darah (parasit tersebut berkembang biak dalam darah) atau organ.

Sumber rujukan

Chagas Disease – https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chagas-disease/symptoms-causes/syc-20356212

American Trypanomiasis – https://www.cdc.gov/parasites/chagas/gen_info/detailed.html

Rujukan artikel asal

Chagas Disease – https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chagas-disease/symptoms-causes/syc-20356212

American Trypanomiasis – https://www.cdc.gov/parasites/chagas/gen_info/detailed.html

Lihat halaman asal di Hello Doktor